Sunday 19 May 2013

MENANTU REBUTAN (BAB 2)






BAB 2

“BELI apa je ma?”

“Apa-apa yang dah habis.”

Ciskek la mama ni. Betul-betullah.”

Hahaha… Mama nak beli ayam dengan ikan.”

“Itu aje? Lagi?”

“Bunga kantan,daun kesom dengan daun sup. Barang-barang lain mama dah beli malam tadi dengan papa.”

Dahlia kerut dahi. Mula membayangkan lauk-pauk yang boleh dimasak dengan bahan-bahan itu. Kalau bunga kantan dengan daun kesom tak lain tak bukan mesti mamanya nak masak laksa, tapi kalau daun sup nak buat apa? Nasi ayam boleh, nasi tomato boleh, apa-apa pun boleh kalau bubuh daun sup. Nak guna banyak ke sikit? “Daun sup? Nak masak apa ma?”

Tekalah.”

“Alaa… Aya tak ada mood nak main teka-teki, teka-tekuk sekarang ni. Kasi tahu je la, ye?” Matanya dikelip-kelipkan banyak-banyak kali. Konon bajet comellah tu.

“Mama kasi hint. Dia macam pantun.” Dahi Dahlia dah berlapis-lapis. Apa susah sangat berpantun bagai? Dah lah dia memang lemah bab pantun-memantun ni.

“Itu hint paling besar kut.” Puan Ros jungkit-jungkit kening ke anak perempuannya yang sedang memandu itu. Dahlia sampai herot-berot mulutnya memikirkan jawapan yang ada kena-mengena dengan pantun. Tapi pantun apa? Kalau pantun ikan kerapu dia tahulah. Hari-hari makan ikan kerapu, nanti mulut kuat merapu. Kekekekeke

Hailaa, tak dapat jugak ke? Perkataannya pun dah ada dalam sayur tu.”

Hesy mama ni, suka buat Aya pening kepala.” Rungutnya. Tapi tetap juga melayan.

“Bihun sup.” Puan Ros senyum lebar. Tiba-tiba dia bagi jawapan. Lagipun mereka dah sampai ke tempat yang dituju. Dah selamat parking pun. Alang-alang tu bagi aje lah jawapan, kalau tidak selagi itulah Dahlia sibuk bertanya. Macam kanak-kanak ribena!

Tanpa membuang masa lebih lama lagi, dia terus membuka pintu kereta dengan tangan kirinya sambil tangan kanan menarik bakul yang hanya diisi dengan beg duit gedabaknya yang diletakkan di tempat letak kaki di tempat duduknya.

Sampai pun, jom!” Wajah dikalih ke tempat duduk belah pemandu. Padahal kaki sebelah dah pun pijak jalan tar di petak parkir kawasan pasar itu. Statik sekejap dia. Rupanya Dahlia duk tenung-tenung bagai nak tembus ke dia. Tergelak kecil dia. Dia tahu jenis renungan itu. Renungan tanda tak puas hati. Tak puas hati sebab dia mempermain-mainkan anak perempuan bongsunya sendiri. Bak kata orang, gurau kasar.

Dah jom. Karang mama tarik muncung tu baru tahu. Buruk benar muka, kesian siapa yang dapat anak mama ni. Dapat isteri suka buat duck-face.” Selamba aje Puan Ros gelak besar di tengah-tengah tapak parkir kereta itu. Ada jugalah dua tiga pasang mata yang memandang tapi diendahkan sahaja mereka semua. Yang penting dia bahagia.

Semakin monyok muka Dahlia. Ada ke patut cakap macam tu pada anak sendiri. Dah tu boleh gelak kuat-kuat dekat tempat awam macam ni. Haisyy.. malu!


“BELI salad jugaklah ma. Boleh nanti Aya buat nasi ayam.”
Puan Ros memandang muka anaknya seketika sebelum membelek-belek semula tomato yang merah menyala itu. Diambilnya tujuh biji, lalu dimasukkan sekali ke dalam bakul yang ada seikat daun sup yang dipilihnya tadi. Macam banyak sangat je tomato tu, tapi kalau dah satu hari makan dekat tiga ke empat lima biji, tak ke sikit kan? Tapi memang bagus makan banyak tomato. Dapat elakkan kanser kulit sebab tomato ni boleh halang sinaran UV dari rosakkan kulit. Lagipun, kulit boleh jadi cerah kalau amalkan makan sebiji tomato tiap-tiap hari. Kesannya boleh nampak dalam beberapa bulan.
“Sempat ke nak masak?”

Sempat. Pandailah nanti Aya diskaun masa study Aya.” Senyum nampak gigi.

“Eh, mama silap soalanlah. Sebenarnya mama nak tanya, rajin ke Aya nak masak?” Perli dia. Kening sebelahnya dijungkit-jungkit. Bakul yang sarat dengan tomato dan daun sup itu dihulur ke tuan punya gerai.

“Mama ni…” Rengek Dahlia.

Puan Ros ketawa tapi tangannya lincah memilih sayur salad yang segar. Dihulur lagi ke tuan gerai.

Timun jugak ma. Aya nak buat masker. Jerawat dah mula naik. Sob sob.” Dua biji timun dihulur kepada mamanya. Puan Ros bagi kepada tuan gerai untuk timbang sekaligus kira berapa ringgit yang harus dia bayar untuk beli semua sayur itu.

“Lima ringgit lima puluh sen.” Beg plastik dihulur.
Beg plastik dan duit bertukar tangan.

“Saya jual ya?” Senyum.

Ros angguk. “Terima kasih.”

Jom beli kelapa pulak.” Menonong aje Puan Ros meninggalkan Dahlia setelah beg plastik yang penuh dengan sayur-sayuran itu diberi kepadanya. Terkedek-kedek Dahlia mengejar mamanya.
“Eh, tu kenapa tu?” Mama bersuara. Dahlia menoleh.

Pergi tolong cepat Aya. Ya Allah…” Beg-beg plastik dipas ke mamanya.


PANDANGANNYA mula kabur dek air mata yang mula memenuhi tubir mata. Namun dia masih lagi tidak putus asa cuba mengesan keberadaan ibunya. Air mata mula menitis setitik demi setitik ke pipi mulus miliknya. Tangan kanan kemas menjinjit dua buah beg plastik yang berisi dengan beberapa kuih-muih dan satu ikat pisang yang hampir busuk manakala tangan kirinya mengesat air mata yang mulai membasahi pipi. Ibarat hujan yang semakin lebat, air matanya kian mencurah-curah tidak menunjukkan tanda ingin berhenti malah semakin menjadi-jadi. Esakan yang tadinya cuba ditahan perlahan-lahan mula kedengaran dan semakin jelas.

Kini dia menjadi perhatian semua. Namun sayang, tidak ada seorang pun yang tampil ingin menghulurkan bantuan selain melihat semata-mata. Bagaikan dia membuat persembahan di tepi jalan pula.
Ibu.” Rintihnya perlahan. Masa ini dah tak dipedulikan lagi apa yang orang nak cakap fasal dirinya. Biarlah kata dia lembik ke, cengeng ke, apa je. Yang dia tahu ibunya mesti dicari. Kalau tak entah apa mereka bakal makan untuk dua tiga hari ini. Kesian adik-adiknya nanti.

Tangan tak sudah mengelap air mata di pipi. Pandangan orang ramai diabaikan. Yang penting padanya ketika ini cuma ingin mencari ibu. Entah macam mana dia boleh khayal sampai tak sedar ibunya dah pun beredar ke tempat lain. Elok sahaja dia menoleh, kelibat ibunya sudah lesap. Dahlah pasar ni besar!

Pegangan plastik diketatkan. Langkah kaki mula menjadi semakin besar. Macam mana macam mana pun dia kena cari ibunya. Tangisannya ditahan sekuat mungkin. Kalau asyik nangis aje bila masalah nak selesai. Mesti ibunya juga risaukan dirinya.

Baru beberapa langkah, dia jatuh tersembam ke bumi. Tapi barang-barang yang dibawanya sudah pun berterabur keluar. Dirinya terasa begitu bodoh! Kalau dia tak jatuh tak mungkin makanan itu semua rosak. Dan kalau makanan tu semua tak jatuh, adik-adiknya pasti tidak akan berlapar. Sikunya yang luka sedikit akibat tertekup di atas jalan tar tadi kerana menahan mukanya daripada tersembam hanya dibiarkan. Otak tengah ligat berfikir bagaimana mahu mencari makanan yang baru.

Sedang dia cuba untuk bangun, ada tangan yang memegang erat lengannya membantu dia untuk bangun. Kepala menoleh.


“ADIK.” Dia membantu kanak-kanak lelaki itu untuk bangun. Dua bungkus beg plastik yang turut terjatuh tadi cepat-cepat diangkat supaya tidak dipijak oleh orang ramai yang lalu-lalang di situ. Apa yang boleh diselamatkan dia selamatkan. Tapi memang dah terang tang tang tiada apa yang tinggal. Pisang tadi habis penyek akibat terhempap semasa jatuh tadi.

“Itu makanan untuk adik-adik saya.” Tunjuknya ke arah tangan Dahlia. Suaranya juga bergetar sedikit. Puan Ros yang berdiri di belakang Dahlia berasa sangat sayu mendengar kata-katanya. Dahlia masih lagi duduk mencangkung di depan kanak-kanak itu.

Beg plastik dihulur. Mata masih tak berkelip dari tadi tapi tangannya tetap mengambil pemberian Dahlia itu.

“Anak okey tak ni? Makanan tu mak cik belikan yang baru ya? Dah kotor tu… Nanti sakit kalau makan.”

Dia menggeleng. Dua wanita itu kerut dahi.

“Tak apa, mak cik boleh belanja.” Puan Ros senyum. Mungkin dia tak ada duit untuk beli yang baru. Telah hatinya.

Dahlia mengusap kepala kanak-kanak itu sebelum dia bangun dari posisi cangkung tadi.
Dah jangan nangis-nangis. Tak macho!” Dahlia kenyit mata. Lantas tangan itu dipegangnya seraya digenggam.

Jom, jom. Nanti gerai semua tutup. Dah dekat pukul sepuluh pun.” Lengan kanak-kanak itu ditarik oleh Dahlia. Menonong sahaja dia mengikut gerak langkah kaki Dahlia. Puan Ros masih setia di belakang. Dah serupa bodyguard pun ada juga.

“Tapi saya kena cari ibu saya.”

“Tak apalah, kita beli dulu lepas tu kita cari ibu.” Puan Ros bagi cadangan. Tapi lebih kepada arahan sebenarnya.

“Nama adik siapa ye?”

“Muhammad.” Lambat-lambat dia jawab. Matanya dielak dari bertemu pandang dengan anak mata Dahlia.

Akak, Dahlia. Panggil kak Aya aje. Yang ni mama akak.”

Ouh…” Setelah agak lama baru dia respon. Itu pun sekadar ouh.

Senyap. Krik krik krik.

“Eh, mama belum beli kelapa lagi! Mama pergi beli kejap.” Tiba-tiba sahaja suara Paun Ros memecahkan kesunyian antara mereka. Segala jenis barang yang dipegang mamanya kini sudah selamat di dalam genggamannya. Cis!

Hesyy mama ni.” Keluhnya.

“Muhammad nak makan apa? Akak belikan.” Senyum diukir. Kaki masih lagi melangkah mencari gerai-gerai yang menjual makanan siap.

Kalau ditelek-telek, budak ni ada jugak baya Jauzan. Tapi sekali pandang macam tak pulak. Tapi kalau pandang lagi, memang dah macam sebaya je. Haisyy.. apa susah Aya? Tanya ajelah terus, kan senang!

Diam lagi.

Dahlia menggaru kepalanya yang dilitupi dengan tudung bawal hitam. Baju hitam, seluar hitam, selipar jepun yang dia pakai pun warna hitam. Wahh, ini dah serupa gothic kut!

Nak tanya tak nak? Nak tanya tak nak? Nak ke tak? Nakkk!

“Err, akak belikan Muhammad apam balik boleh?”

Eh, eh, lain yang nak tanya lain pulak soalan yang keluar. Haisyy… sungguhlah mulut ni nak kena ketuk dengan senduk sebab dah pandai nak melanggar arahan otak!

Mak cik yang tengah sibuk berkemas itu cepat-cepat tersedar rupanya ada costumer lagi. Mujur je baru kemas sikit. Mereka berdua pun turut tersentak apabila disapa. Tak perasan yang kaki sendiri dah terpacak depan gerai apam balik itu.

“Ye dik?” Soalnya pada mereka berdua.

“Bagi tiga apam balik special, mak cik.”

“Okey, tunggu kejap ye dik.” Mak cik itu pun terus sahaja menjalankan tugasnya. Ligat sahaja tangannya menuang adunan tepung ke dalam acuan yang berbentuk bulat itu.

Dahlia senyum, lalu mengangguk sekali. Suasana kembali sepi. Krik krik krik…

“Maaflah ye, mak cik memang dah nak balik, itu yang mula kemas-kemas ni. Mujur kau orang datang cepat. Kalau tak mesti mak cik dah simpan barang-barang masak ni hah.”

“Eh, mak cik ni. Patutnya kami yang kena minta maaf, bukan mak cik.” Mereka berbalas senyum sebelum mak cik jual apam balik itu menyambung tugasnya. Macam pro habis dah tengok. Lagi-lagi bila part tabur kacang hancur atas adunan lempeng yang dah separuh masak tu. Dan apabila mak cik jual apam balik sibuk berperang dengan apam baliknya, kesunyian kembali menerjah suasana.

Muhammad di sebelah dikerling beberapa kali. Dia mengeluh.

Aya, tadi kau sibuk sangat nak tanya tapi ni apa pasal pulak kau senyap je? Apa budak kecil ni ada aura voldemort ke? Tak kan? So, tanya ajelah. Adoyai

“Err, Muhammad ni umur berapa?” Mukanya memandang Muhammad. Senyum.
Tahun ni sembilan.”

“Ouh…” Ingatkan dah dua belas ke tiga belas. Sebab Jauzan pun lebih kurang je tinggi dia ni, tapi Jauzan umur dua belas. Err, ke sebab Jauzan tu memang genetik rendah? Kekeke...

Tujuh ringgit lima, dik.” Plastik dihulur.

Ambik, Muhammad.” Arah Dahlia sambil tangannya menyeluk poket lalu mengeluarkan wang kertas sepuluh ringgit. Diberinya kepada mak cik itu.

“Eh, tak apa mak cik. Bakinya simpan.”

“Eh, tak apa ke?”

Betullah tak apa. Kan tadi saya cakap tak apa. Rezeki mak cik hari ni.”

“Terima kasih ye nak.”

“Sama-sama.”

“Jom, nak apa lagi ni? Akak tengah murah hati ni.” Senyum.