Tuesday 8 October 2013

MENANTU REBUTAN (BAB 8)




BAB 8


“DR. AMIRUL.”

“Ya, Puan Sri?” Amirul buat tabik hormat pada ibunya. Dah dua hari tak jumpa sebab terpaksa bertugas di hospital. Nak buat macam mana, kerja yang dia pilih dari kecil hinggalah besar adalah doktor, maka nak tak nak tanggungjawab harus dilaksanakan. Berkhidmat untuk masyarakat tak kira masa ataupun tempat. Sumpah pun telah dia angkat.

“Ke mana kelmarin? Jenuh ibu tunggu, alih-alih Pak Mat yang datang jemput ibu dari pasar.”

“Mirul terpaksa cover untuk Chua. Wife dia nak terbesalin.”

“Ouh ye ke? Baby boy ke baby girl?”

Boy and girl.” Terlopong mulut Puan Sri Zaiton apabila mendegar jawapan anaknya itu.

Twin?”

Amirul angguk.

“Wahh… Mirul bila nak bagi ibu cucu ni?”

“Ibu ni…”

“Apa? Mirul tahu tak umur Mirul ni berapa dah?” Puan Sri Zaiton dah bercekak pinggang. Maknanya dia sangat-sangat serius!

“Tahu, tapi…”

“Tapi kenapa tak cari lagi jodohnya? Jodoh ni bukannya datang bergolek aje. Dia kena cari. Ni asyik sibuk dengan kerja aje, sampai bilanya nak bagi ibu cucu ni?” Muka anak tunggalnya itu dia tenung dalam-dalam. Amirul dah terkedu. Takkan nak melawan? Nanti derhaka. Tapi kalau tak menjawab macam kurang ajar. Tangan kanannya yang tadinya elok jatuh ke bawah sekarang dah naik ke atas. Kepala yang tak berapa nak gatal digaru-garu perlahan. Tangan kiri juga diangkat, tapi dibawa ke mulut. Mug yang dipegangnya ditonggengkan ke bibir, air milo yang baru sahaja dia bancuh dia sisip perlahan. Nikmat!

“Sempat lagi dia minum bila ibu tanya.” Gedebuk sekali ibunya bagi pada lengan kanannya.

“Dahagalah bu…” Amirul merengek. Air milo dalam mug dah tinggal separuh walaupun sekali teguk aje. 
“Nak ibu kasi adik baru ke Mirul yang nak kasi ibu cucu?” Ibunya berseloroh.

“Ibu ni… Tak ada isteri lagi macam mana nak bagi ibu cucu.”

“Carilah isteri.”

“Tak ada masa.”

“Cari masa.”

“Masa hilang.”

“Heh, letih bercakap dengan anak ibu ni. Kalau ibu carikan nak?” Puan Sri Zaiton angkat kening.

“Mirul muda lagi bu…” Dia mengeluh. Ibunya juga turut mengeluh. Dekat seminit mereka berdua diam.

“Sayang ibu tak?” Puan Sri Zaiton kembali bersuara.

“Sayang.”

“Dua puluh sembilan tak muda tahu? Dah tua. Kalau Mirul kahwin umur tiga puluh ke atas, nanti anak Mirul baru habis sekolah, Mirul dah pun nak bersara.”

Mereka mengeluh lagi. Amirul masih berdiam diri. Dia sayang pada keluarganya. Abah dengan ibu ajelah permata hati pengarang jantung. Seboleh-bolehnya dia tak mahu lagi melukakan hati abah dan ibunya. Cukuplah dulu masa dia berkeras ingin menjadi seorang doktor dan bukannya seorang ahli perniagaan. Lima tahun abahnya merajuk dengannya. Bukan dia tak nak mewarisi legasi abah, tapi hati dah jatuh pada kerjaya seorang doctor, nak buat mana kan?

“Ibu dah ada ke calonnya?” Wajah Puan Sri Zaiton bercahaya bila dia dengar anak lelaki tunggalnya bertanya sebegitu. Wahh… umpan dah mengena!



KHEMAH dah siap terpacak depan rumah milik Hajah Hadeeja walaupun kalendar kata hari ini hari isnin. Haji Ilham sengaja menyuruh budak-budak Pak Mustar supaya memasang khemah lebih awal. Katanya nak ambil feel… Sekarang ni dia jadi supervisor melihat pekerja-pekerja Pak Mustar membawa masuk kerusi dan meja ke perkarangan kediamannya. Ada dua buah khemah dipasang. Masalahnya khemahnya bukan khemah kosong, siap berhias macam khemah orang kahwin. Sekali pandang memang macam ada majlis besar aje.

“Walid!” Huda sergah tiba-tiba dari belakang.  Tak pasal-pasal dia melompat ke depan. Hesy anak seorang ni, walid kau pakai kain pelikat je ni.

“Huda ni… Nasib baik walik tak bukak bunga-bunga silat walid.”

Huda ketawa kecil. “Tak apa, Huda ada tae kwan do. Black belt lagi.” Tangan kanan peluk bahu walidnya sambil kepala dilentokkan ke lengan kanan Haji Ilham. Nak letak dagu atas bahu tak sampai. Tak cukup incilah katakan, mana nak sampainya. Lentok dekat lengan pun jadilah.

“Dah siap tolong umi dekat dapur ke?” Kepala puterinya itu dia usap.

“Belum. Huda nak tengok bintang dengan walid.” Haji Ilham senyum mendengar kata-kata Huda.

“Mana ada walid tengok bintang.”

“Sekarang walid tengok.” Huda mendongakkan kepalanya memandang muka Haji Ilham. Dia jelir lidah kemudian kembali melihat langit ciptaan Ilahi. Kebetulan malam itu langit cerah. Bintang pula bukan main banyak berterabur. Tak macam selalu, mendung aje. Eh, mendung ke jerebu?

 Geleng kepala dia dengan karenah anak perempuan bongsunya. Walaupun tak dikurniakan anak ramai tapi dia bersyukur. Sebaik sahaja Huda dilahirkan, isterinya, Hajah Hadeeja dinasihatkan oleh doktor supaya tidak mengandung lagi kerana rahimnya terlalu lemah untuk menampung bayi buat kali ketiga. Lagipun semasa melahirkan Huda, Hajah Hadeeja memang mengalami komplikasi yang agak kritikal.Tapi Allah nak bagi lagi anak buat mereka selepas beberapa tahun kelahiran Huda namun belum sempat masuk dua bulan usia kandungan itu, Hajah Hadeeja mengalami keguguran dan rahimnya harus dibuang bagi mengelakkan risiko yang lebih tinggi.

Dahlah baru keguguran, dapat pula tu berita yang meluruhkan jantung hati hempedu ginjal sebagal bagai macam tu. Satu hari Hajah Hadeeja menangis dengan nasib yang menimpa dirinya itu. Bukan nak menidakkan qada’ dan qadar Allah tapi, dia rasakan ujian yang diberi terlalu berat hinggakan dia rasa dah tak mampu nak berdiri semula. Haji Ilham pula cukup tabah ketika itu. Dia kata dia percaya pada Allah. Mesti ada hikmah disebalik apa yang jadi. Apabila Hajah Hadeeja tanya tak apa ke dia buang rahimnya, Haji Ilham hanya senyum dan jawab…

“Dua pun dah cukup. Lebih dari cukup.”

Sifatnya yang sentiasa bersyukur itu, telah Allah gandakan dengan nikmat yang lebih baik lagi. Dari hidup susah, sehinggalah dia berjaya sekarang membentuk empayarnya sendiri dengan titik peluhnya sendiri.

“Walid tak rasa macam melampau ke sampai berkhemah-khemah bagai ni? Dah macam kenduri kahwin pun ada jugak.” Lamunannya tentang kisah dulu lesap macam tu saje apabila suara Huda menerjah gegendang telinga.

“Umi yang nak buat macam ni. Umi kata sekali buat gathering dengan kawan-kawan lamanya. Lagipun kan walid jemput jugak kawan bisnes dengan staf-staf office.”

“Wahh.. ni belum kenduri kahwin. Kalau kenduri kahwin agaknya macam manalah ek?”

“Macam ni!” Huda punya kepala dijentik Hafiz. Sungguhlah tak bermoral main jentik-jentik kepala macam tu. Entah dari mana abang terchentanya itu datang, tiba-tiba aje dah ada di belakang dia dan walid.

Haji Ilham geleng kepala je tengok gelagat anak-anaknya itu. Seorang dah dua puluh lapan, seorang lagi dah dua puluh lima. Tapi perangai masih lagi macam budak tadika.

Tangan yang memeluk bahu walidnya dilepaskan sebelum rumah banglo dua tingkat itu mula kecoh dengan suara mereka dua beradik yang berlari keliling rumah sampailah ke ruang tamu dan dapur. Mujur tak masuk bilik, kalau tak jenuh nak kemas semua bantal yang bakal dijadikan senjata baling-membaling.

Pekerja-pekerja Pak Mustar yang sedang mengangkut kerusi dan meja dari lori ke dalam perkarangan rumah Haji Ilham pun geleng kepala tengok gelagat anak-anak tuan rumah. Nak join sekali tak boleh nanti Pak Mustar bertukar jadi Pendekar Mustar dah satu hal lain pulak!